GST ni cerita lama. Zaman Tun Hussein dulu dah cakap. Zaman Tun Dr Mahathir pun cakap juga. Tapi hanya pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini era Mohd Najib Abdul Razak, pemerintah beria-ia melaksanakannya.
Kita tidak menafikan keperluan kerajaan terus mencari hasil untuk mentadbir dan membangunkan negara. Tetapi kita juga tidak boleh mengenepikan kepentingan dan kebajikan rakyat jelata.
Sekarang, setelah jelas bahawa cadangan GST itu mendapat tentangan rakyat jelata dan menghadapi ancaman tunjuk perasaan di Bangunan Parlimen, Pentadbiran Mohd Najib membatalkan bacaan kali kedua rang undang-undang cukai baru itu.
Kita harap penangguhan ini bukan taktik politik atau percubaan mengelirukan perbahasan mengenai isu ini, tetapi kerana pemerintah telah sedar bahawa ia telah tergesa-gesa membentangkan rang undang-undang itu.
Kalau ditanya para pakar dan penasihat yang hanya peduli soal hasil kerajaan tetapi kurang peduli atau tidak peduli akan kesuntukan hidup rakyat jelata, memanglah apa jua kaedah yang boleh menambah hasil kerajaan adalah baik.
Jadi, eloklah mulai sekarang pemerintah turut mendengar keluh kesah dan berdialog dengan rakyat jelata, pembayar cukai dan pengundi daripada hanya mengiakan sahaja pandangan pakar dalam dan luar negara. Apa yang mereka peduli, hanyalah mengenai gaji dan yuran yang mereka perolehi.
Kalau tidak, bukan sahaja pemerintah akan menjadi lebih tidak popular, tetapi yang lebih memalukan ialah apabila ia terpaksa melakukan “flip-flop” pada saat-saat akhir.
Apatah lagi Perdana Menteri sendiri mengakui bahawa era Internet telah merobohkan banyak benteng yang memisahkan manusia.
Kini, jika beliau peka, beliau boleh memperoleh maklum balas bukan sahaja daripada media massa arus perdana, tetapi lebih banyak dan meluas daripada saluran maklumat yang berlandaskan Internet.
Hal yang sama haruslah juga diamalkan dalam usaha merangka Model Baru Ekonomi dan apa jua dasar atau rancangan yang menyentuh kepentingan umum.
Lagipun, apalah salahnya pemerintah mendengar keluh-kesah rakyat jelata dan meminta nasihat mereka yang berpengalaman, khususnya veteran dalam bidang percukaian dan ekonomi.
Rasa-rasanya, tidak ada seorang pun daripada mereka yang hendak jadi Perdana Menteri atau Presiden Umno semula.
Sebaliknya, orang muda dan para penasihat yang sentiasa memuji dan memuja memanda Perdana Menteri itulah yang perlu diperhatikan.
Bukan apa, kita takut mungkin – saya ulang, MUNGKIN -- ada di antara mereka yang bercita-cita politik dan korporat atau setidak-tidaknya pun untuk menjaga dapur agar terus berasap.
Ibarat kata ungkapan Melayu, sokong membawa rebah! Nasihat umpama jadam. Pahit, tetapi kalau dituruti boleh menjadi penawar kepada racun yang paling bisa. Gula memang manis, tetapi mati semut kerana gula.
No comments:
Post a Comment